Jutawan PaPa

Saya mendapat YM dari adik saya mengenai cerita yang menarik ini dan saya kongsikannya untuk tatapan anda. Kisah seorang wanita yang dulunya kaya dan akhirnya sekarang papa.

LONDON: Yvonne Lawrence, 30, masih tersenyum meskipun beliau kini papa kedana, setelah sembilan tahun hidup dalam serba kemewahan selepas menang loteri RM9.46 juta.“Saya kini lebih gembira,” dakwa Yvonne yang hilang segala kekayaannya akibat gaya hidup mewah dan juga pelaburan yang merugikan.
Hakikatnya, jika wang kemenangan daripada tiket 8, 11, 25, 46 dan 47 itu tidak dibelanjakan dan disimpan di bank, Yvonne bakal memperoleh wang faedah RM570,600 setahun dan hidup selesa.

Kini, wangnya habis dan bekas kakitangan panggung wayang yang berpendapatan RM57,000 setahun itu kini terpaksa mencari kerja, mungkin kerja di pejabat.

Keluarganya kini bergantung kepada pendapatan suaminya, Nathan yang bekerja sebagai pengimpal. Baru-baru ini mereka terpaksa menjual rumah semi-d serta kereta sport berharga RM228,000 untuk membeli apartmen dua bilik dan kereta Peugeot 307 bernilai hanya RM38,000.

“Saya melalui tempoh paling menarik dalam hidup, tapi kini saya kembali normal. Saya kini mungkin tidak berwang, tapi saya tak kesal. Yang penting, saya sihat dan kini kami memiliki tiga anak yang baik. Malah, ada kalanya saya gembira kami tidak lagi kaya.

“Sememangnya saya suka hidup mewah tapi tanpa wang, anak saya pasti lebih menghargai hidup,” kata ibu kepada seorang anak perempuan berusia enam tahun dan pasangan kembar lelaki, dua tahun itu.

Yvonne menang hadiah loteri itu ketika berusia 21 tahun dan dalam tempoh enam bulan pertama, beliau pergi membeli-belah setiap hari.

“Saya beli apa saja, pergi bercuti dengan empat rakan selama dua minggu di Florida dan Bahamas. Saya juga belanja empat rakan saya untuk membeli-belah di New York dan membawa ibu ke Disneyland, Paris.

“Saya tak perlu lagi kerja, membeli apartmen empat bilik berharga RM1.6 juta dan sebuah kereta Volkswagen Golf. Saya membelanjakan RM234,700 untuk membeli kereta Jeep Cherokee dan RM228,400 untuk membeli kereta Mercedes SLK.”

Yvonne menderma sebahagian wang kemenangannya, sejumlah RM317,100 setiap seorang untuk ibu dan bapanya yang bercerai dan RM507,650 untuk adik lelakinya, Darren.

Demi melindungi wang kemenangannya, Yvonne turut melabur dalam saham atas nasihat pakar. Semuanya berjalan lancar hinggalah 11 September 2001. Serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York yang menyebabkan pasaran saham dunia merudum merugikan Yvonne sekali gus memaksa beliau menjual sahamnya.

“Saya takut hilang semua wang saya, menyebabkan saya menjual saham. Saya rugi RM634,350 tapi wang yang saya peroleh kembali saya labur di tempat lain,” katanya.

Beliau membelanjakan RM2.54 juta untuk membeli tiga apartmen di bandar kelahiran Nathan, Gosport, Hants, tapi pasaran hartanah yang merudum menyebabkan beliau kerugian lagi.

Awal tahun ini, Yvonne terpaksa menjual sebuah apartmen dengan harga hanya RM920,000, kurang RM254,000 daripada harga yang dibelinya. Beliau turut hilang RM63,450 apabila penyewanya lesap begitu saja.

“Saya tidak boleh buat apa-apa, tapi belajar daripada pengalaman itu,” katanya.

Pada 2002, Yvonne rugi besar apabila bersetuju memenuhi permintaan Nathan menjadi pemain hoki ais profesional di Kanada.

Selepas membelanjakan RM63,450 untuk majlis kahwin, mereka terus berhijrah ke Kanada.

“Beliau menjalani kem latihan dan kami menyewa sebuah rumah dan membeli banyak perabot. Ada di antaranya terpaksa kami tinggalkan selepas hasrat Nathan tidak tercapai.

“Apapun saya puas hati kerana sekurang-kurangnya Nathan mencuba sedaya upaya. Beliau masih lagi bermain di sini, tapi dalam liga lebih rendah,” katanya.

Pada 2004, Yvonne dan Nathan melabur RM3.18 juta untuk menguruskan sebuah gimnasium.

“Kami sekeluarga berpindah ke Gosport pada masa itu. Sebahagian besar wang kami dilabur dalam hartanah dan kami ingin sesuatu yang menghasilkan wang. Nathan berasakan bisnes gimnasium peluang terbaik.

“Meskipun tak pasti, saya menurut kehendak Nathan kerana dia bersungguh-sungguh. Pada mulanya, semua berjalan lancar dan kami memiliki 700 ahli. Namun, kos tinggi menyebabkan kami tidak mampu untuk terus beroperasi.”

Awal bulan ini, gimnasium itu terpaksa ditutup dan Yvonne mengaku melakukan kesilapan kerana tidak memperoleh nasihat terbaik sebelum melabur wangnya.

“Kini saya terpaksa mencari kerja. Meskipun sukar, saya perlu meneruskan hidup untuk membesarkan anak saya. Saya kini mungkin tidak hidup mewah, tapi boleh kongsi pengalaman ini dengan anak dan harap mereka belajar daripada pengalaman ini,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Tags:

Most Commented Posts

8 Responses to “Jutawan PaPa”

  1. haris Says:

    Salam bro maizul…

    Eh bro kan dah masyuk banyak dari Adsense :D

    InsyaAllah saya akan keluarkan report tersebut tapi mungkin bukan dalam masa terdekat

    Thanks sudi melawat

  2. ahib0205 Says:

    hm.. sbb ghairah dgn duit sgt kot. hm.. kalo bro la dpt duit byk tu pertama2 bro akan buat apa ye? saja la nk tau :)

  3. admin Says:

    Ahib kalau aku la, bayar hutang dulu ooo…..

  4. wanwma Says:

    Duit yang banyak tidak boleh menjamin kekayaan yang berpanjangan. yang membela kita untuk kekal berjaya ialah ilmu. kalau dah ada banyak duit, hutang2 semua dah selesai, derma pun sudah, gunalah duit selebihnya untuk belajar. Belajar cara mengguna dan mengandaknya. Barulah boleh mengaplikasikan perniagaan atau pelaburan…kalau tak, ini la jadinya…

  5. Afzai Afandi Says:

    Betul gak kata2 minah tu…sekurang2nya kisah hidup dia boleh kita teladani agar berwaspada bila dah mempunyai RM yang banyak.

    Apapun..kalau aku pulak miliki wang sebanyak itu…aku akan gajikan cerdik pandai dalam semua bidang untuk gandakan wang aku supaya wang itu nanti bekerja untuk aku…

    Tapi, bila ekk boleh rasa wang sebanyak itu…mahu pengsan dulu :)

  6. titan Says:

    pengalaman mengajar manusia tentang nilai wang. Tak apa. Pergh..menang loteri. Siapa tak suka tu kan..

  7. hafiz ahmad Says:

    Cerita yang penuh pengajaran.Kadang-kadang apabila kita mendapat habuan secara drastik begini,kita mudah tewas dengan nafsu sendiri.Tetapi apabila kita mendapat wang melalui usaha yang perit saya rasa kita sekurang-kurang nya menghargai wang itu.
    Pakar perunding kewangan bijak dalam hal ini.

  8. AbuSyurahbil Says:

    Bila baca crito tuu, pertamo Den tak polik.

    Dia orang bukan Islam, duit yang dio dapek pun tah apo bondo ee, loteri.

    Kalau orang Islam dah tak berkat, orang bukan Islam memang dapek lah nikmat tu kojap di dunio nii.

    Kito orang Islam nak kayo tak salah tapi kehendak Tuhan jadi no 1.

    Kalau time kono zakat bezakatlah kito,

    Kalau ado orang susah nolong lah kito,

    Kalau jumpo 8 asnaf utama kan lah.

    Tu yang den koba tak polik dengan crito tuu.

    Yang polik kalau orang Islam bilo kayo lupo Tuhan, lobih-lobeh polik
    bilo jatuh miskin papo bertambah lupo TUHAN.

    ” Setiap peristiwo yang berlaku pado kito sebagai orang Islam tak lopeh dari peringatan dari Tuhan- ado hikmah dan sobab musabab eee…”

Leave a Reply